KERDIPAN NAJAM TIMUR

KERDIPAN NAJAM TIMUR

OLEH FAIZATUL HERDA BT MOHD AZAMAN

SATU

“AS-SYEIKH Muhammad Al-Kurani! Beta berkenan melantik tuan sebagai murabbi anakanda beta. Anggaplah dia umpama anak tuan, lenturlah dia dengan acuan Al-Quran dan Sunnah, pukullah sekiranya ingkar perintah tuan yang menyongsang syariat Tuhan.” Titah Sultan Murad tegas.

“Menjunjung perintah, Tuanku!” Arahan bertukar tanggungjawab. Mencanai dan mengacu syakhsiah seorang putera mahkota tidak semudah perintah yang dilafaz. Muhammad Al-Kurani makruf, putera lela bangsawan itu rencam kerenahnya. Pernah beberapa kali dihantar ‘memondok’ dengan para alim ulama sebelum diserahkan kepadanya. Nyata jiwa pria itu begitu liat dilentur.

“Muhammad, kemari. Ada pesanan dari ayahandamu.” Anak muda itu digamit mesra.

“Mengapa tuan tidak mengelar beta tengku mahkota?” Dibiarkan soalan itu diterjah kawanan pawana semilir.

“Dengar sini anakanda, Sultan Murad berkenan melantikku murabbi anakanda. Jika ada perintah dan arahanku anakanda ingkari, akan kuurusi anakanda sebisaku.” Mata hablur ulama itu berkilau. Setia memakai wajah lenang

“Apa yang tuan mahu lakukan ke atasku?” Sengaja memancing dengan senyuman nakal.

“Apa saja yang diilhamkan Tuhanku, agar hatimu lunak dan tidak membentak.” Kalam telus berbau ugutan

Gelaknya kian galak. Terpingkal-pingkal. Syaikh Muhammad Al-Kurani merasa dipersenda. Diambilnya rotan diraut sedepa lalu ditebas betis tengku mahkota. Melalaklah anak muda itu semahunya. Lalu diserahkankan mashaf Al-Quran untuk dilumati hingga hadam.

DUA

Pagi itu diguyur renyai nyamur nirmala. Aku bangkit awal. Mahu ikut Selman ke kampusnya di Fakulti Ilahiyat, Universiti Marmara. Aku perlu membiasakan diri mendengar pengajian di dalam Bahasa Turki. Bahkan berhajat menemui beberapa orang pensyarah untuk mendapatkan khidmat nasihat yang telus mengenai hasrat murniku, menyambung pengajian di Turki. Namun kukesani, jika membuat permohonan pengajian Othmaniyyah aku akan terpelanting ke Fakulti Pendidikan Ataturk. Sebetulnya aku tidak senang ke kampus tersebut, pelajarnya didominasi dogma liberal.

Kuliah pertama pagi itu subjek Falsafah yang diajar Prof. Ayhan Erkan bermulut pedas. Gemar menghentam pelajar yang disifatkan ampuh dan tidak bertoleransi dengan pensyarah Syariah berfahaman Laiklik (sekular).

“Ha! Kamu pergi halau lembu-lembu itu. Kalau dibiarkan lama-lama mereka akan lulus ujian ijazah sarjana sekelas kalian.” Sindiran beracun sengaja dipanah ketika beliau mengelih sekawan lembu yang menceroboh padang bola di pinggir kampus. Senyumnya melebar. Puas!

“Tak mengapa Prof, biar lembu-lembu itu belajar lama sedikit. Jika mereka lulus Ph.D, bolehlah mereka duduk sejabatan dengan kamu!”‌ Rakan sekelas Selman membidik tepat. Hilai tawa menjadi bahasa di dalam dewan kuliah beberapa bentar. Aku terpana dicuit kejutan menyaksikan situasi yang tidak pernah kualami.

“Selamat datang ke Turki! Kami sangat menghormati orang yang memuliakan Islam. Tetapi untuk pensyarah seperti tadi aku langsung tidak bersimpati walaupun dia disindir lebih tajam dari itu.” Hangit kejutanku dihidu Selman sejurus tampang Prof. Ayhan Erkan lesap dari ruang retina. Kaul Selman, Prof. Ayhan Erkan seorang pendokong politik sekularis, pimpinan Mesud Yilmaz. Beliau membenci jawapan peperiksaan pelajar bersandarkan Al-Quran dan Al-Hadis, memada dengan logik akal!

Usai kelas, aku dikenalkan beberapa orang pensyarah termasuk Profesor Ahmet Davuto yang pernah berkhidmat di Malaysia. Kami saling bertukar beragam isu menarik dan terkini. Mengejutkanku apabila dikhabarkan yuran pengajian peringkat sarjana di Universiti Marmara hanya USD100 setahun! Wah, beruntung!

“Kami mahu pelajar, bukannya duit. Di sini, kualiti tesis dan penyelidikan kami utamakan.” Jelas Prof. Ahmet Davuto ketika melihat aku melongo mendengar taklimat beliau. Aku nekad melunaskan pengajian sarjana di sini. Bumi khalifah!

TIGA

Petang beransur senja. Mentari pulang ke peraduan. Langit luas terhias purnama penuh yang dihinggap jutaan bintang timur berkedip-kedip bak intan tumpah. Cahaya kosmik cerlang gemilang.

Aku masih bermalam di Gaye Vakfi, Yeni Sahra. Gaye Vakfi, badan NGO yang menyelaras apartmen tersebut. Sekali gus aku tertarik pendekatan Gaye Vakfi. Di Turki terdapat ramai ahli perniagaan Muslim yang komited dengan Islam. Mereka menguasai syarikat-syarikat terbesar Turki seperti Kompasan. Melalui pungutan zakat fleksible, ramai ahli perniagaan membayarnya dengan menaja asrama kediaman pelajar yang dikira asnaf fi sabilillah. Ahli perniagaan ini akan menampung bayaran sewa, menyediakan beras, kupon roti dan bayaran bil. Tuntas, pelajar-pelajar universiti di Istanbul dan beberapa bandar lain yang kurang mampu boleh tinggal secara percuma. Syarat yang dikenakan mudah sahaja, pelajar-pelajar ditaja wajib menghadiri program pengajian yang diadakan di masjid berhampiran asrama tersebut.

Aku belajar beramah-tamah dengan rakan serumah Selman. Penguasaan Bahasa Turkiku masih ditahap sederhana. Kadang-kadang aku mengambil masa terlalu lama untuk memahamkan mereka, juga sebaliknya. Namun hati yang dikurniakan oleh Pemilik Alam ini betah meladeni. Masih tegar berhubung kendatipun memaksaku menulis atau melukis ketika bertatih bertutur. Segalanya berbalik pada hati. Jika hati mahu segalanya pasti berlaku, jika hati enggan segalanya merusuh sakan. Benar, kecanggihan dunai global yang menghamilkan sarat teknologi demi merealisasi dunia tanpa sempadan. Melahirkan beribu-ribu model alat komunikasi sofistikated. tidak bererti jika hati tidak ingin mesra dan menjauh.

Selman tinggal dan membesar di Bolvadin, sebuah bandar di Wilayah Afyon. Anak lelaki tunggal dari tiga beradik. Selman telah menghafal isi Al-Quran ketika berusia 14 tahun. Rupa-rupanya majoriti sahabat serumah Selman adalah huffaz belaka. Yang paling kuat hafalannya Hasan dan Mustafa. Aku begitu cemburu.

EMPAT

Ba’da Isya kami menziarahi teman-teman Selman berbangsa kurdi. Mereka majoritinya sefakulti Selman, Ilahiyat. Kami berlabun-labun sambil menikmati kuaci biji labu berselang-seli cicipan teh dari daerah Rize. Ketika kami enak berbual, Abdullah bingkas bangun menekan punat televisyen. Oh, Berita Jam Sembilan rupanya! Aku belum melihat individu yang sangat fokus seperti Abdullah dan teman-temannya. Menonton berita dijadikan agenda terpenting mereka.

Salah seorang dari mereka menelefon ibunya di kampung. Tentunya di timur Turki. Entahlah, aku sendiri kurang pasti sama ada di Bingöl ataupun di kawasan yang berhampirannya.

“Selam aleyküm, mak. Apa khabar? Oh begitu ke? Minggu ini siapa yang mati? Hmm, sabarlah mak ya... aleyküm selam!” Suaranya lirih mengendur.

Kenaling. Nubariku terusik. Dadaku padat dan sendat. Menyimpan jutaan kesulitan di ruang sempit yang menghimpit. Khabarnya itu perbualan biasa setiap kali menghubungi ibu di kampung. Minggu ini bapa saudaranya ditembak dan tubuhnya tercampak ke dalam longkang.

“Entahlah siapa yang menembaknya, tapi kami di kampung memang biasa mengesyaki ia perbuatan askar Turki.” Sambungnya mendatar.

Gumpalan fikiranku berarak keluar dari kepompong. Membuyar. Mengapa nasib bangsa Kurdi begitu? Jumlah mereka ramai. Bukan minoriti sebarangan di Turki. Aku menyedari bangsa Kurdi ini menerima nasib yang sama di seluruh negara mereka berkelana. Etnik minoriti di Iraq, Iran, Armenia dan Syria.

“Kerana itulah kita mesti bebas dari Turki. Kita kena keluar dari negara ini!” Suara Abdullah bergetar. Nadanya tegang. Bibirnya diketap geram. Aku mula memusatkan gumpalan fikiran yang membuyar sebentar tadi.

“Kalau kamu keluar dari Turki, negara apa yang bakal kamu bentuk? Apa pasaknya?” Aku maju bertanya.

“Itu tidak penting. Yang utama sekarang bangsa Kurdi mesti ada negara sendiri. Hanya itu!” Abdullah memasak besi emosi.

“Jika kalian bentuk negara Kurdi yang paksinya selain Islam, ia hanya mengundang petaka berganda. Kalian digeruni lantaran memiliki koleksi ulama dan pahlawan ulung seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Bediuzzaman Said an-Nursi. Andai enggan mengamalkan perlembagaan Islam di negara impian kalian, sekadar bersandar pada angka majoriti. Sia-sia! Kalian akan menindas bangsa Turki sebagaimana bangsa Turki menindas kalian sekarang. Apa bezanya?”. Sengaja aku menyuguh kiasan mantik. Biar tutur Abdullah dipandu iman bukan akal! Sahabat yang lain mengangguk akur. Abdullah mengetap bibir. Hakikat yang ditelan umpama belati tajam.

Sungguh, bangsa Kurdi amat digeruni oleh barat. Bayangan Salahuddin al-Ayyubi dan Bediuzzaman Said an-Nursi bergentayangan semasa mereka bersidang di meja Saiks-Pico pada tahun 1919. Persidangan itu membincangkan agenda faraid penjajah terhadap tanah umat Islam yang diwarisi seusai kemangkatan Khilafah Othmaniyyah selepas kekalahan Perang Dunia Pertama. Di dalam persidangan tersebut, diagihkan satu bangsa satu negara!

Sengaja peta Timur Tengah dilakar selela-lela kehendak emperialis. Satu-satunya bangsa yang ternafi hak sebuah negara bahkan peta dilukis bersilang-siur hanya kerana bangsa Kurdi. Peta Turki, Syria, Armenia, Iran dan Iraq diubah agar bangsa Kurdi menjadi kaum minoriti di semua negara tersebut. Itu strategi jangka panjang untuk melumpuhkan mereka.

Alasannya, detik Khilafah Othmaniyyah berada di ambang kejatuhan, bermacam bangsa bangkit memberontak. Bulgaria, Armenia, Arab, Slav dan yang lain cuba menentang. Masing-masing mahu merdeka dari ‘penjajahan Othmaniyyah’ kononnya. Satu-satunya bangsa yang tegar mempertahankan Othmaniyyah ialah bangsa Kurdi. Hanya kerana itu Ataturk telah membunuh ribuan pimpinan kaum Kurdi sebelum pembubaran rasmi Khilafah Othmaniyyah diuar-uar.

Sifirnya mudah. Jika bangsa Kurdi diberikan hak negara sendiri, dengan mudah mereka bakal menggoncang kuasa dunia membentuk empayar Islam yang unggul dan berwibawa.

Itu rasionalnya ketika aku menyanggah pendapat Abdullah. Bukan ingin mencipta provokasi. Aku enggan menghayun langkah sumbang dalam merencana. Padahnya Islam! Aku mengelih tubir mata Abdullah. Ada orakan kecil bergenang.

“Ah, apa yang kau tahu? Kau hanya mendegar, yang sengsara kami! Setiap kali pulang ke kampung, kami membasuh lantai yang dicemari darah kaum keluarga kami.” Abdullah sugul dan dongkol menahan perasaan yang membakar relung dadanya.

“Sabar...dengan sabar yang indah!” Aku menepuk bahunya.

“Aku akan pastikan kebangkitan Fatih Sultan Mehmet kali kedua. Merencana sebijaknya!” Nadanya berkobar.

“Sahabat, bukankah Saidina Ali k.w berpesan, ‘Binalah daulah Islamiyah dalam dadamu terlebih dahulu’, ertinya individu muslim yang berakhlak dengan Al-Quran dan As-Sunah yang mampu membina kembali daulah Islam yang pernah kecundang.” Gerak matanya cukup mendebarkan, ada nyalaan pawaka hamasah menjulang. Aku menyaksikan!

LIMA

“Anakku, yakinlah pada janji Rasulmu, bahawa engkaulah tentera yang dijanji-Nya dalam sabda baginda, ‘Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya!’ Bersiapsiagalah ke arah itu!” Ingatan As-Syeikh Ak Samsettin, keturunan Saidina Abu Bakar As-Sidiq r.a itu berpilin-pilin di benak Sultan Muhammad Al-Fatih. Baginda menghirup nafas. Dalam-dalam. Dilepaskan perlahan-lahan. Allah matlamat kami! Letusan kalimat itu menggegar jihat alam!

KUNANG-KUNANG LENTERA

KUNANG-KUNANG LENTERA

Oleh Faizatul Herda Mohd Azaman

SATU

TIBA di lapangan terbang Charles de Gaulle, aku disambut hububan angin sendalu yang dingin. Suhu dikhabarkan lima darjah Celcius. Bimbang otot betis kejang kebekuan lantas menahan teksi ke hotel. Tambangnya kali ini terasa mahal lantaran Perancis menggunakan matawang Euro, kira-kira ganda lima nilaian ringgit. Menginap di Hotel de Amour mengingatkan aku pada pertemuan silam. Titik-titik memoriku seakan berserakan dan cuba bergabung lalu membentuk dua perkataan, Cleo Sandra. Ya, itulah namanya. Cleo Sandra!

DUA

Serasa tubuh letah-letai tiga hari berturut-turut membuat liputan penyertaan Perdana Menteri ke satu persidangan antarabangsa mengenai biodiversiti. Segala maklumat dan rakaman masih belum disunting. Laporan lengkap perlu dihantar sebelum jam lapan malam ke ibu pejabat. Ah, segala maklumat hanya perlu diattach ke alamat abroadnews@newsdesk.com bermakna tugasku beres untuk hari ini. Kukecap makan malam di depan komputer riba. Waktu begitu suntuk, mengunyah sambil menaip dipersahabatkan. Enaknya makaroni bakar bersama keju mozzarella!

Telefon bimbit berbunyi mohon panggilan dijawab.

"Ben. Benedict! Kau masih di kota ini? Langsung tidak memberitahuku!" Nada wanita di talian sedikit mengejutkan gegendangku.

"Siapa pula kau dan apa kepentingannya untuk aku mengkhabarkan kedatanganku?" Ritmaku sedikit tegang.

"Ben, kau dah lupakan aku ya? Semudah itu?!" Aduh, wanita itu ingin mengajarku bermain Jigsaw puzzle. Menyusun keratan kecil sehingga aku dapat mencantumkan cebisan wajah dan suaranya tuntas membentuk ikonnya yang kamil.

"Maaf, saya sedang bercakap dengan siapa sekarang?" Kesabaran yang cuba kupintal terbang bertebaran keluar melalui balkoni kamar.

"Aku…" Suara misteri itu terkulum, pantas talian terputus.

Kalbuku menjerit 'Pedulikan!'. Urusanku mesti cepat dan tapat waktunya. Kelewatan bisa mengundang petaka dalam karier yang kupilih!

TIGA

Keripuhan berkejar membuat liputan dan tersera-sera ke sana ke mari hanya memberi laluan untuk aku memahut Eiffle Tower dari kejauhan. Nantilah, ruang dan peluang belum mengizinkan. Ingin sekali aku menulis sajak dan melakar bait-bait indah melalui citra romantik kota ini. Seperti tahun-tahun sudah. Aku menganyam puisi cinta di hadapan Eiffle Tower bertemankan sari bunga tulip yang puspawarna cukup membuai perasaan! Di pinggir Sungai Seine yang disimbah cahaya lentera jalanan juga di taburi kunang-kunang. Aku meladeni seorang perawan manis berfahaman ateis , Cleo Sandra. Aneh! Ramai wanita tempatan yang aku ladeni sambil berbual mesra tanpa kuingati nama mereka, tidak pula Cleo Sandra. Namanya tertanam dalam benakku. Sulit untuk mencabut tunjang ingatan itu. Cleo Sandra!

Persidangan antarabangsa berakhir usai maghrib. Aku melepaskan lelah di atas ranjang beberapa bentar. Entah bila aku terlena. Bingkas aku bangkit tatkala terjaga mengenangkan belum menunaikan kewajipan kepada Yang Satu. Ya, Yang Satu. Bukan dua, tiga atau tiada. Dia Yang Maha Pencipta. Membolak-balikkan nubari yang dicipta. Dialah yang mengurniakan petunjuk kepada sesiapa yang Dia ingini. Syukur anugerah iman yang dinikmati sejak beberapa tahun. Nikmat Islam.

Aku bersiap-siap awal pagi itu. Mencicip Cappuccino dan roti croissant berintikan coklat. Sudah kutetapkan halatujuku hari ini untuk menikmati koleksi lukisan Renoir dan Monet, juga karya agung Leonardo da Vinci, Michael Angelo dan Donatello dari Itali. Seni untuk dihayati dan dinikmati, tidak memuja orang yang diberi ilham. Seni mengenalkan kita kepada Pemberi Ilham. Aku turun menelusuri stesen subway Paris Metro, membaca peta dan memastikan lokasi stesen Louvre-Rivoli. Membayar nilaian 3.2 Euro untuk tiket 24jam, bermakna aku boleh ke mana-mana sepanjang hari.

EMPAT

Medan Dfinique,

Laluan Quieta 7 Underground,

Sabtu, Disember 11, 2004

1047am

(Setentang dataran bekas istana raja Perancis)

Kondisi dewan oval serba canggih dikelilingi pintu kaca bertiang ferum bertambah hangat. Penyaman udara seakan punah dek perbahasan bertanaga yang disampaikan oleh perwakilan dari Turki, Renan Pekunlu seorang ahli akademik dan penulis Bilim ve Utopa (Sains dan Utopia). Beliau berucap dan menggesa materialis menggalas tanggungjawab mempertahankan materialisme. Pekunlu menegaskan buku Evolution Deceit sebagai ancaman utama materialisme sambil melahirkan kerisauannya dalam bab yang membatalkan Darwinisme. Cleo Sandra antara jemputan perwakilan persidangan rahsia dan tertutup. Sesekali dia mengangguk, beberapa bentar keningnya yang menirus berkerut.

"Jangan biarkan diri anda hanyut dengan pendoktrinan idealisme dan tetapkan kepercayaan anda kepada materialisme". Seraya menjulang dengan tangan kanannya naskhah Materialism and Empirio-Critism Vladimir I. Lenin, pencetus revolusi berdarah Rusia sebagai rujukan. Ketukan meja membingitkan ruang, tanda sokongan sidang. Cleo Sandra memanjangkan lehernya kalau-kalau ada sidang yang dikenali. Prof. Bill Dawson dari Fakulti Media juga hadir, sebelahnya Prof. Meinhof dan anak gadisnya Ulrike. Nafasnya mendesah lega.

Pekunlu setia mengulangi semula kenyataan Lenin sesering mungkin sambil memacak besi amaran, "Jangan fikirkan isu ini, atau anda akan kehilangan jejak materialisme dan dihanyutkan oleh agama". Sekali lagi ucapan Pekunlu beroleh respon positif.

Cleo Sandra terpinga sekejap. Entah mengapa hatinya seakan menolak membantah-bantah dasar dan ucapan Renan Pekunlu yang dirasakan bodoh dan melulu. Seseringnya imbasan kata mengitari retina dan mindanya, 'Kebendaan tidak lebih daripada ilusi'. Ah, jangan begitu. Akidah yang dipegang sejak mengenal dunia intelektual tidak dibiar rebah biar pantai benar berubah sekalipun airnya bah. Cleo Sandra menyandar sambil memfokuskan indera lihat kearah pintu utama dewan oval. Dalam cepu fikirnya ingin segera keluar menaiki sel kaca ke atas. Dia tidak keruan. Terlalu!

LIMA

Macet pengunjung di dataran bekas istana raja Perancis untuk melepasi gapura Musee du Louvre. Pintu masuk Louvre di bawah piramid kaca rekaan arkitek terkemuka dari Hong Kong-AS, IM Pei kelihatan kontras bila digandingkan binaan antik. Piramid kaca rekaan moden itu diapit kirinya pavilion Denon, di kanannya Richelliu dan di belakangnya Sully, masing-masing mempamerkan reka bentuk istana berusia 800 tahun. Hadapan piramid terbentang memanjang dataran dan taman lelangon berhamparan puluhan rencam warna tulip dan carnation. Aku melepasi pintu masuk dan berasak-asak ke tingkat satu pavilion Denon. Sengaja menatap raut Mona Lisa yang menyimpul senyum penuh misteris dengan redup pandangan sifar penakrifan. Sendat makna tersirat. Seolah sulit menggalas derita yang tak terungkap dek kalam wanita sezamannya.

'Wanita!' Desis hatiku. Makhluk yang lunak hatinya. Mudah tiris pada kalam beracun. Minda dan fahaman mereka senang dikuasai. Pendirian mereka adakala ibarat kiambang. 'Cleo Sandra!' Aku menjerit. Tidak! Suara itu terpenggal dalam kerongkong lalu tersendal celah halkum.

"Terkejut?" Riak bersahaja. Matanya berkunang-kunang dibundarkan.

"Masakan tidak." Aku terpempan lalu memakai wajah tenang walau di dada bagai menghambur ganas ombak.

"Ben, aku tahu kau akan datang ke sini. Bukankah dulu kita pernah memahat impian bersaksikan Sungai Seine bahawa kita akan membina empayar materi yang berkitabkan falsafah materialisme." Senang dia menutur kata-kata yang entah bila aku sepakati dengannya.

"Jadi kau yang hubungiku tempohari, Cleo?" Soalan yang sudah kuagak jawapan. Bagaimana ritma suaranya dalam talian berlainan rentak hampir aku tidak kesani langsung frekuensinya

"Ya, aku." Sambil mengenyitkan mata kirinya.

Indera lihatku sempat menjilat beberapa kali lukisan Mona Lisa yang berusia 503 tahun. Sesekali nafasku mendesah.

"Cleo, sudah lama aku kuburkan impian itu." Anak mataku mencari iris kelabunya. Mohon pengertian. Cleo ketawa. Terpingkal-pingkal sehingga menzahirkan giginya yang putih laksana gewang.

"Mengapa? Kau tak rasa bangga mengaku kau salah seorang pengikut Lenin dan Karl Marx? Kau tak mampu menjadi lelaki intelektual yang menggunakan otaknya menafsirkan bahawa alam ini terjadi dengan sendiri. Dan kau nak khabarkan padaku wujudnya syurga dan neraka seperti orang bodoh di luar sana?" Serasa pegangan akidahku dimamah mentah-mentah.

"Dengar sini, aku datang ke sini bukan ingin bertekak tentang fahaman gila kau, Cleo. Andai kau tegar dan ingin mendengar penjelasanku lebih cocok kita meninggalkan Louver." Cleo mengangkat kening dan mempamer senyuman sinis.

ENAM

Sengaja aku berjalan lambat-lambat agar Tuhan mengirimkan buatku ilham berdepan wanita yang terlarang aku musuhi. Bahkan perlu aku baikpulih perkakas akidahnya. Kami menaiki Metrotren bawah tanah. Sendat penumpang memenuhi perut Metro penghalang kami berhujahan sepanjang perjalanan.

"Kita ke pinggir Sungai Seine?" Cleo Sandra seakan menghidu lokasi yang dituju.

Aku memilih untuk menabir jeda. Aku perlukan kekuatan untuk menempuh hari ini. Harus bagaimana? Ya, berzikir. Selawat tafrijiyah moga usahaku ini berhasil dan tidak mendukacitakan!

"Mari!" Hanya itu yang meletus dari bibirku.

Ketika berjalan beriringan menyusuri Sungai Seine, berjujut pelukis jalanan pelbagai bangsa asyik memperagakan kreatifviti masing-masing. Aku leka menyambar tiap kanvas terlakar pemandangan indah kota Paris, termasuk ikon Eiffel Tower, Notre Dame dan Arc de Triomphe, bulatan yang membahagi 12 simpang mewakili seluruh penjuru Paris yang dibina Napolean Bonaparte. Bayangkan! Usai melepasi mereka Cleo bersuara.

"Ben, aku sungguh keliru dengan pengakuanmu, kau bercanda atau kalammu tadi serius?" Iris kelabunya cerlang di cumbu suria galak. Wajahnya polos dengan tahi lalat perang di dagu kanan cukup menawan. Aku meratai rautnya dengan kiraan lima.

"Aku seharusnya bertanya soalan itu kepadamu, Cleo." Bungkam beberapa ketika.

"Aku masih materis tulen, Ben!" Tegas berbaur keliru. Jemarinya menyentuh kolar kemejaku. Aku berpaling sambil membuka langkah. Kubiarkan Cleo mengekor di belakang. Tidak ingin kuulang peristiwa silam antara kami. Intim tanpa ikatan!

"Aku muslim yang mukmin! Sengaja kutekan perkataan terakhir.

"Apa yang kau temui, Ben? Falsafah meterialisme tidak cukup kukuh untuk kau jadikan pedoman hidup?" Lagaknya memujuk. Moga imanku kebal dan pejal.

"Tidak, malah menyongsang! Kau masih menerima keabadian dan kekekalan alam semesta tanpa permulaan dan pengakhiran. Tidak dicipta oleh Tuhan.Tidak terbatas di dalam masa dan ruang?" Takrif materialisme sudah kuhadam saat isme ini kuanuti.

"Ya, benar. Sekali gus menafikan kewujudan Pencipta." Anak matanya berlari ke dalam anak mataku.

"Kasihan, kau hanya menurut sedang orang lain yang bersusah-payah mencari dan mencipta dalil untuk memandu aliran materi, bukan? Apa kata jika pak cik Lenin dan Marx ganyut itu menipu kau dan pengikut lain hanya kerana mereka tidak ingin bertuhan." Aku masih cuba mengasak. Biar kepercayaan karut Cleo Sandra dipanah celaru.

"Maksud kau kami ditipu untuk mempercayai bahawa masa sama seperti materi adalah mutlak, keduan-duanya wujud sejak azali dan akan kekal selama-lamanya? Mustahil…" Benteng kepercayaannya sukar digugah.

"Baik, aku buktikan satu fakta yang jelas padamu. Jangan terkejut, kesepakatan telah dicapai oleh ahli sains akhir alaf ke 19 dengan mengesahkan materi tidak mutlak dan memiliki permulaan. Keseluruhan alam semesta berasal dari tiada. Dianggarkan 15 billion tahun lampau melalui letupan titik dengan isipadu 'sifar' dan membentuk apa yang ada sekarang bahkan mengembang sepanjang masa. Autentik fenomena ini dipanggil Big Bang. Bagaimana Si Kolot Lenin dan Marx boleh merapu sejauh itu?" Wajah Cleo Sandra merona keliru. Mungkin berlaku kontradiksi fakta yang tersusun dalam laci mindanya. Sebuah bot dengan muatan pelancong melepasi kami. Kelihatan kapal kertas teroleng-oleng dipukul orakan kecil. Itulah akidah Cleo ketika ini, telahanku.

"Masakan! Habis kau juga ingin katakan bahawa masa tak seperti materi, tidak mutlak. Keduan-duanya tidak wujud sejak azali dan tidak akan kekal selama-lamanya???" Mata bundarnya menyalakan api kemarahan. Sempat menghambur segaris keluhan.

"Ya, kerana aku ada alasannya. Teori Relatif Albert Einstein membentangkan asas fizik moden. Secara ringkas masa dan ruang adalah dua konsep yang bukan mutlak. Ia mempunyai permulaan dan telah dicipta pada asalnya tiada. Ada Pencipta yang mencipta masa dan ruang. Georges Politzer, menyebut dalam bukunya 'Principes Fondamentaux de Philosophic', 'Sekiranya hal demikian, maka kita terpaksa mengakui bahawa seorang Pencipta wujud'. Untuk pengetahuan kau, Georges Politzer adalah ahli falsafah berfahaman materi seperti kau." Aku menyitir fakta dari majalah The Islamic Philosophy yang telah merubah peganganku. Langkah yang kami hayun terhenti serentak. Cleo Sandra menyeluruhi tampangku.

“Nanti dulu, nanti dulu. Fakta apa yang kau ungkapkan ini? Aku benar-benar diterpa keliru!" Dahinya berhias alis sederhana tebal bersilang-siur. Kemudian mundar-mandir di hadapanku sambil memicit-micit dahi seolah diserang migrain. Kalamnya kembali melantun.

"Jadi penemuan ini membawa kau ke titik bahawa materialisme telah menjadi fata morgana. Ia hanyalah sebuah ilusi. Tuhan telah menipu kami dengan bayangan fata morgana, dan memperdayakan kami untuk menerima seluruh himpunan imej-mej ini sebagai hakikat. Semua orang yang 'mulia' ini, profesor, astronomis, biologis, ahli fizik, dan yang lain tidak mengira darjat dan kedudukan mereka telah tertipu seperti kanak-kanak dan telah dimalukan kerana mengambil kebendaan sebagai Tuhan?" Nah, mindanya masih rasional untuk menaakul secara mantik.

"Ya, Tuhanku dan Tuhanmu telah berfirman dalam surah an-Nur ayat 39, 'Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas (fartamorgana) di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisab-Nya.' Marilah Cleo Sandra, kita bergandingan melalui jalan yang lurus. Rahmat-Nya amat luas. Tak bertepi."

"Ben, aku ingin bersendirian. Tinggalkan aku…"

"Cleo, kau tak akan bersendirian. Aku jua pernah terkepung di muara ketegangan sepertimu. Aku hantarkan kau pulang. Berehat dan berfikirlah sematangnya. Aku sayangkanmu!" Cleo langsung tidak acuh pada ayat terakhirku. Tak mengapa, aku perlu bersabar. Kuiringi Cleo. Aku tahu dia sebak dan kacau fikiran. Kondisinya keruh.

Cleo kuhantar hingga di depan apartmentnya. Dia tetap membisu seribu bicara. Kubiarkan. Pilihan di tangannya sebagaimana aku pernah memilih jalan hidupku satu ketika dulu. Dia perlu nekad jika membulat tekad!

TUJUH

Pagi itu muram. Selimut alam seakan kusam. Emosiku juga terkesan pada redup suria dari jihat timur. Aku menatap akhbar tabloid Perfecto sambil mencicip hangatnya cappuccino dan croissant berparut keju diatasnya. Pagi limun begini seakan memajalkan keinginanku untuk berlibur kemana-mana. Hasratku mahu mengunjungi Cleo Sandra usai zohor nanti, lusa aku bakal berangkat pulang. Mahu berlabun-labun isu kelmarin atau kami akan mencipta isu baru. Aku merasakan pucuk cinta kian menunas terhadapnya. Mungkin kerana simpatiku pada skeptis akidahnya. Atau mungkin keramahan dan kemanjaannya pernah aku ladeni di zaman bejat akal budiku.

Indera pandangku memaut laporan berita yang meluluhlantakkan rasionalku:

…mangsa yang dikenal pasti sebagai Cleo Sandra Samuel ditemui mati di lantai apartment miliknya. Mangsa adalah pelajar Sarjana Komunikasi Massa, University of King Louise dipercayai telah di bunuh oleh Materialis yang bergerak secara rahsia. Polis menjumpai kesan jahitan di pergelangan tangan mangsa dan dipercayai tertanam cip yang mampu melumpuhkan sistem saraf dan menyerak sistem otak dari berfungsi melalaui kawalan setelit. Pihak polis percaya kesan torehan pada tiub penyambung gas butana di dapur mangsa disabotaj untuk mengelirukan punca kematian. Motif pembunuhan adalah dendam dan disifatkan kematian magsa adalah pembunuhan paling kejam alaf moden.

Kilat di relung dada sahut menyahut. Petir dan guruh berdentam-dentum. Pandanganku berlapis kian menipis. Langsung kelam, gelap dan pekat. Tragis…

Rujukan:

Al-Quran al-Karim

Evolution Deceit, Harun Yahya


CICIT HAJI IBRAHEM

Cerpen

CICIT HAJI IBRAHEM

Oleh Faizatul Herda Bt Mohd Azaman

"Ma, abah di mana?"

"Kubur. Hari sudah tinggi, barangkali abah singgah ke 'bagei'." Tangan mama cermat membungkus pulut panggang berinti serunding daging.

Ibrahem berkira-kira mahu mencari abah di 'bagei'. Sejak berpindah ke kampung abah sering menziarah kubur tok ayah dan moyang. Seminggu dua Ibrahem rajin meneman. Sebulan dua abah pergi sendiri. Usai solat subuh di 'balaisah' Ibrahem terus pulang. Minta temankan mama ke pasar, itu arahan abah. Ibrahem cuak kalau-kalau abah tersadung akar di tepi 'bagei' atau sakit lututnya kembali menyengat.

Ibrahem menyarung selipar jepun dan berjalan cepat-cepat. Biar sempat jumpa abah di 'bagei’. Paling tidak bertembung ketika abah sedang meniti batas-batas sawah sambil berjalan malas-malas menuju ke rumah. Abah, kalaulah Tuhan izinkan Ibrahem hidup seratus kali, Ibrahem mahu lahir dari baka abah. Baka seorang lelaki dari keturunan wali.

Ibrahem mengambil jalan pintas. Menyusup di celah-celah rumah kayu yang bersambung dengan anjung. Sesekali terdengar suara Mak Su Zara menyapa ceria, Pak Muda Kama ramah bertanya kabar. Peluh memercik di dahi mengalir di pelipis lalu menitik pada baju melayu teluk belanga berona coklat tua. Mujur dia mengenakan baju nipis dari kain kapas di sebelah dalam, sekurang-kurangnya peluh jantan yang terbit sekitar abdomen dan lurah-lurah tubuh terserap.

Indera lihatnya tunak menangkap tampang abah dalam kawasan kuburan. Satu-satunya kubur yang berbumbung dan bertiang. Itulah kubur moyang Ibrahem, seorang wali. Haji Ibrahem pernah menuntut di Tanah Suci sebelum kembali semula ke tanahair. Seorang pria yang sangat alim dalam cabang ilmu Fiqh, Tauhid, Nahu dan Sorof. Sehingga dia memberikan kuliah pengajian di pondok-pondok ramai pula yang datang menawarkan anak gadis untuk diperisterikan. Haji Ibrahem dikhabarkan abah seorang yang zuhud dan keramat. Setiap yang terdetik di hati, terkabul permintaannya bahkan mustajab doanya. Saban hari beribu-ribu zikir dilunaskan.

"Abah dah habis berdoa dan bertawasul?" Ibrahem memegang bahu abah. Diramas-ramas bahu lelaki yang paling dicintai itu dengan lembut.

Abah mengelih sambil meratai wajah Ibrahem dengan tenang. Mengangguk. Lelaki berkulit putih polos kemerah-merahan itu bangkit membetulkan kain pelikat tenun. Berjalan lambat-lambat keluar dari pagar tanah perkuburan kampung Tok Bok, Machang. Ibrahem mengekori.

"Ibrahem, abah selalu-selalu mengingati moyangmu bila memandang kamu."

"Sebab saya cicit Haji Ibrahem…" Sambil Ibrahem menghela tangan abah. Bergandingan menghayun langkah ke simpang kiri. Simpang ke 'bagei'.

"Juga kerana kamu sudah menyempurnakan sebahagian dari hasrat moyangmu yang tak mampu abah langsaikan." Nada abah lembut dan sayu.

"Hasrat moyang juga hasrat abah. Saya sedayanya melangsaikan hasrat kalian berdua demi ad-Din yang saya junjung." Ibrahem cuba mengendur suasana agar tali ketegangan tidak menjerut sesiapa.

"Abah sebenarnya lemas dalam kerinduan yang teramat pada kampung ini. Setiap langkahan ada sejarah yang pernah abah lakarkan. Usia kecil abah, zaman remaja. Segalanya abah tinggalkan dan terpaksa mengikut nenekmu ke Singapura selepas kematian tok ayah." Abah mengedip-ngedipkan matanya beberapa kali. Persis melihat visual memoir silamnya di atas monitor kaca digital.

"Sekarang abah sedang keluarkan bongkah-bongkah memori silam dan menyusunnya baik-baik. Begitu?"

"Sejarah, Ibrahem. Sejarah adalah tinggalan dan bukti paling baik dan ideal. Abah cuba koreksi diri dengan merujuk sejarah diri sendiri. Tanpa sejarah tidak akan ada hari ini." Abah membuang pandangan jauh ke kaki bukit. Dari bukit itu mengalir air panas. Air penawar untuk segala penyakit kulit. Abah pernah khabarkan yang bukit itu anak gunung berapi, diperutnya ada lahar yang mendidih.

"Abah, kak ngah berhajat benar bawa abah kembali semula ke sini. Adakah kerana dia arif sejarah hidup abah?"

"Angah…dia selalu cuba menjiwai roh anak jati Kelantan. Walaupun kalian adik-beradik berdarah luwes Kelantan-Pahang tapi angah faham benar. Jauh di dasar fuad, dia tahu abah memang kepingin kembali ke sini. Kamu lihat, usai pengajian dia sibuk mengumpul wang." Langkah abah terhenti. Sudah sampai di 'bagei’ rupanya. Ibrahem mendekati gigi air. Membiarkan jemari kakinya dicium orakan kecil ‘bagei’. Segar dan menyenangkan.

Ibrahem mengangguk akur. Kak Ngah yang beriya-iya mahu abah pulang ke Kelantan. Kak Ngah juga sanggup melaburkan semua wang simpanan untuk membina rumah di pinggir kampung Tok Bok. Hanya kerana mencari roh anak jati Kelantan??? Kak Ngah memang begitu. Selalu-selalu cuba memenuhi impian keluarga. Atau Kak Ngah juga masih mencari roh warisan Haji Ibrahem?

"Masih ingat 'bagei'? Alunan air dan gamitan-gamitan batang padi yang kian menunduk bila berisi?" Abah melabuhkan punggung kental di atas batang pokok mati. Ibrahem menurut perbuatan abah.

"Sentiasa. Abah selalu bawa kami mandi di sini bila pulang berhari raya. Di sini abah ajar kami berenang. Dan di sini juga along dan angah membasuh kain bila nenek marah-marah kalau guna air banyak di rumahnya. Kadang-kadang dia ingatkan kami yang rumahnya bukan kilang." Abah tersenyum kelat bila Ibrahem mengingatkannya pada seorang ibu yang wajib dipatuhi jua ditaati sekalipun keadilan luntur dari hati wanita itu.

"Tok ayah kamu seorang penggawa. Sangat akrab dengan pegawai Inggeris sebelum merdeka. Setiap kali tanah baru dibuka pasti diperuntukkan berpuluh ekar untuk tok Penggawa. Kamu bayangkan tanah tok ayah kamu bermula dari kampung Tok Bok masuk ke Kampung Joh berakhir di pinggir kolam air panas Kampung Rengas di kaki bukit sana." Abah menundingkan jari telunjuknya ke arah kaki bukit. Saujana mata memaut puluhan relung padi menguning.

"Dulu nenek pernah cakap, harta tok ayah banyak. Sampai semput membaca geran tanah." Sengaja Ibrahem mengulangi kalam neneknya. Sebetulnya dia sedikit jelek dengan sikap neneknya yang pilih kasih. Menyayangi cucu yang berbaka Kelantan tulen. Lalu yang lain terpinggir.

"Memang banyak. Hatta di tempat kamu pijak ini adalah tanah tok ayah kamu. Tapi kini, tanah ini dan ‘bagei’ ini dijual pada Pak Su Wei dan Mek Yah." Abah teguk liur. Anak mata coklat terangnya menembusi dasar bagei yang mengalir di antara dua batas. Jernih.

"Dulu nenek kamu kata tanah ini untuk abah, setahun dua selepas itu abah dengar sudah dijual. Duitnya nenek bahagi-bahagikan pada dua orang lagi adik beradik abah. Hak abah ternafi. Abah tak kisah sangat. Lagipun ini bukan sekali dua nenek kamu jual tanah yang dijanjikan untuk abah." Ibrahem tenung raut wajah abah. Dalam-dalam. Tiada riak kecewa walau secalit. Bibir abah tak henti-henti berzikir. Bersuara halus. Tenggelam timbul.

Silir-semilir angin bukit sesekali memukul wajah. Air ‘bagei’ getar beriak bila angin ramah mengusap permukaannya. Abah adalah anak kesayangan nenek pada zaman remajanya. Abah rela kahwin hujung usia 20-an kerana mahu nenek pilihkan menantu yang nenek berkenan sahaja. Abah sanggup tanggung anak saudara yang ramai bila nenek ambil mereka untuk tinggal bersama. Abah sudah belajar-belajar menjadi ayah sebelum berkahwin. Tapi bila abah ambil keputusan terima pelawaan mertuannya tinggal di Pahang, nenek akur dalam paksa. Memecak berselindungkan rela.

Sejak itu sebarang tindakan nenek luar makluman abah. Berpuluh ekar tanah dijual dan imbuhannya ditaburkan pada Pak Long dan Pak Su. Nenek berani menjual tanah yang abah beli dengan duitnya. Ya, tanah itu nama nenek. Nenek mahu tanah itu, abah sanggup bayar tanpa mengharap apa-apa. Nenek janji tanah itu akan diwariskan pada abah. Abah tahu. Abah diam. Cuma abah terkilan, abang dan adik bongsunya tak pernah keluarkan wang walau sesen bila nenek minta untuk beli tanah sedang mereka hidup senang lenang. Rumah banglo di pinggir Bandar Kota Bharu. Abah apa yang ada? Cuma tujuh orang anak. Semuanya dihantar belajar ke sekolah agama.

Dulu Mak Su Jei ada khabarkan pada abah peristiwa pelik ketika di Pejabat Tanah. Berbelas kali nenek cop ibu jarinya setiap kali itulah bunga pada ibu jarinya tidak timbul. Dakwat berwarna biru di atas dokumen geran tanah sahaja yang kelihatan. Nenek marah. Dia sanggup tunggu sampai petang hingga garis-garis bunga ibu jarinya tertera pada dokumen itu.

Angin bukit tiba-tiba bertiup garang. Waktu duha yang tadi tenang sudah terasa pijar dipanah mentari pagi. Mata hablur Ibrahem mencuri pandang ke dalam relung sawah yang berselut. Sesekali berkocak kuat kemudian berorak tenang. Ada puyu mengodek sisik, ada keli menanduk tebing, ada haruan makan anak.

"Kamu jangan runsing. Abah sudah puas hidup senang ketika kecil. Ketika usia empat tahun abah sudah naik motokar dikala anak kampung masih berkaki ayam. Umur lima tahun sudah petah berbahasa Inggeris sedang rakan sebaya yang lain hanya kenal ‘bagei’ dan pepokok getah. Tapi kini abah mahu kamu ambil iktibar, jadikan landasan hidup. Jangan terbabas. Nabi Muhammad berpesan ‘…aku tidak bimbang jika umatku diuji dengan kepayahan yang getir, tapi aku cukup khuatir jika umatku diuji dengan kesenangan.’ Adakah mereka akan berpijak di jalan kebenaran dan selalu mengingati hanya Allah yang Maha Besar?" Abah meratai tampang Ibrahem. Anak mata Ibrahem mengesaninya.

"Abah, saya tidak takut bahkan tidak bimbang. Cuma saya belajar dan saya akui bahawa sungguh iman sepejal besi, setinggi gunung, seluas lautan tak akan dapat diwarisi kecuali Allah berikan kepada hamba-Nya yang beruntung dan terpilih."

"Kamu masih dendam pada nenek?" Ah, serasa sulit menjawabnya. Menggeleng .

"Abah, saya bersyukur diuji begini. Mengajar kita erti redha, sabar dan syukur. Kalau disingkap segalanya datang dari Allah. Tapi tiada siapa dapat mengubah sejarah dan susurgalur keturunan kita. Tanpa sejarah tidak akan ada hari ini. Tanpa moyang, saya juga tidak akan lahir ke bumi. Tanpa Islam tidak mungkin saya dapat menerima segalanya adalah tarbiah dan takdir." Ibrahem mengisar duduk. Serasa begitu lama dalam posisi yang sama.

"Ibrahem, abah bangga dengan kamu. Sempurnakan hajat abah, tok ayah dan moyangmu. Sampai di Madinah Munawwarah rajin-rajin i'tikaf di Masjid Nabawi. Ziarah maqam dan bertawasul dengan baginda. Abah masih menaruh keyakinan keturunan yang baik campak ke laut menjadi pulau, lempar ke darat menjadi gunung. Bereskan pengajianmu dengan amanah." Genggaman jemari abah hangat bersama nyalaan harapan.

"Abah, demi Tuhan. Saya bangga menjadi cicit Tok Haji Ibrahem…."

Glosari:-

‘bagei’- anak sungai/tali air di sawah

'balaisah'-surau