MENCARI ENTITI MALAHAYATI

Cerpen

MENCARI ENTITI MALAHAYATI

Oleh Faizatul Herda Bt Mohd Azaman

Malahayati,

Aku masih di sini, menadah kitab saban hari demi menunai janji yang terpatri sejak azali. Bukankah ulama' itu waris para nabi? Malahayati, genap pun setahun aku merana tatkala alam menghukumkan aku kini sebatang kara. Bilah hari kumamah, bahkan kutelan sepotong sore yang pahit dan lirih. Sakitnya tidak tertanggung. Sungguh riak wajahku tidak secerah dulu lantaran nubari diramas-ramas keterharuan di celah-celah nadiku. Kubiarkan sedih yang sarat ini membara di relung dada, tidak pada zahir senyumku.

Malahayati,

Mentari yang disangkakan terus menyinar tiba-tiba disambar petir. Perit kehilangan seluruh ahli keluargaku sepantas kilat hingga tidak diartikulasikan. Tidak kusangka sindir tsunami adalah curahan murka yang maha derasnya kiriman Yang Esa. Kau tahu, masih melekat, akrab, dan mesra di pojok mindaku memori indah bersama umi, walid, ikhwan dan akhawatku. Juga saat bersama Tuan Guru Abdul Rahman Syah Kuala di pasentren ba'da Isya' melumati karya-karya agung Hamzah Fansuri. Terakam wajah berseri-seri murni tika mereka menghantarku di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda. Kuamati pesan umi," Jangan lalai berdoa, di situ ada keampuhan lagi sakti."

Malahayati,

Kau masih ingati kampung halamanku yang pernah kau kunjungi bersama keluargamu satu ketika dulu? Iya, Banda Acheh di ujung Pulau Sumatera. Saat kau bertandang aku masih segan memesraimu lantaran kita sepupu yang berkongsi gemulah datuk disebelah ibumu. Pantas aku berani menegurmu dek kerana tutur bahasamu tidak jauh bezanya dengan bahasa ibundaku. Aku teruja melontarkan pertanyaan kepadamu mengenai negeri permukimanmu sejak lahir, kerna aku pernah terbaca dalam Tarikh Sultan Iskandar Muda yang beristerikan seorang Puteri dari Pahang. Bahkan, Baginda Sultan sanggup mempersiapkan sebuah taman ditengahnya ada sebuah perigi persis taman larangan Baginda Puteri di Pahang.

Dalam diam aku menelusuri susur galur keturunanmu yang berusulkan seorang pemuda Pahang yang mengahwini wanita Acheh ketika musafir ilmu hingga ke Tanah Seberang. Bapamu seorang paman yang aku segani, punya jatidiri yang teguh, ilmu membukit di dada, fakeh agama, kejernihan riak wajahnya bisa melunakkan hati yang melihat, bahkan layak aku potretkannya sebagai inspirasi. Dia terlalu sederhana. Walidku juga sangat senang dengan bapamu. Aku pernah bercanda mengatakan bapamu mungkin keturunan Baginda Puteri yang disunting Sultan Iskandar Muda. Hampir sekurun akhirnya sireh pulang jua ke gagang menyapu kapur, mengacip pinang, dan mencubit gambir. Kau meluruskan bibir. Indera lihatku merakam buah bibirmu yang ranum.

Malahayati,

Rakyat Acheh sentiasa berkurangan sejak tahun 1998 dengan hanya tercatat 4 500 000 populasi penduduknya. Engkau ingin tahu mengapa? Bukan kerana sapaan wabak taun juga tidak disampuk selsema burung tetapi dek kerana keserakahan orang yang berjiwa yahudi sedang dalam kartu IDnya tertancap agama Islam. Rakyat Acheh dibunuh selela-lelanya. Di sana sini disimbahi darah. Air mata wanita sudah tidak berkimah. Sewenangnya mereka menghirup perawan gadis anum. Anak kecil disarung pakaian yatim piatu. Sejarah memahat bumi Acheh tidak pernah sentosa. Belanda pernah menjarah bumi ini sekitar tahun 1873. Tuntas berlaku pertempuran sengit dan pertumpahan darah di mana-mana demi memetik sebuah kemerdekaan. Kau tahu, zaman inilah muncul seorang srikandi yang lahir dari rahim Acheh bernama 'Malahayati' yang tangkas lagi satria memimpin armada tentera Acheh demi menyanggah ketuanan Belanda. Akhirnya Belanda akur melepaskan kami dari terus dinoda tanpa belas pada 1945. Acheh terus diterpa malang dan bergolak dalam lumpur perang saudara semata-mata ingin memperjuangkan Syariat Islam terlaksana dalam kanun daulah.

Akhirnya penantian kami berakhir, tahun 2002 Acheh diizinkan menjalankan Syariat Islam dalam kelompok minoritasnya rakyat Acheh sedang kami tidak bersedia juga skeptis dengan natijah yang kami perjuangkan sejak dulu lantaran bilangan ulama kian susut dibunuh mereka yang mengaku tentera pengaman sedang disebalik uniform yang tercalit pangkat adalah pengukur takah kekejaman mereka. Mana bisa Malahayati, kami ingin melaksanakan Hukum Hudud dicelah-celah karat mazmumah menebal bilamana wanita-wanita Acheh sudah betah membuka aurat hinggakan menutup aurat itu seakan khayalan yang jauh dari kenyataan. Lalu, hukuman ini dilaksanakan dalam ruang yang dangkal. Hudud buat kanak-kanak dan orang dewasa tidak kepada golongan militer!

Malahayati,

Pernah kau khabarkan padaku yang cita-citamu ingin membangunkan Acheh dengan ad-Din dan ekonomi lantaran Ekonomi adalah subjek major dalam persijilanmu. Aku bangga dengan impianmu. Bahkan Acheh negara yang kaya. Setanding kemewahan milik Brunei. Sumber petroleum dan gas aslinya sahaja di tangga kedua selepas Qatar. Itu belum kau congak galian emas, perak, bijih timah, ferum dan lain-lain. Sial kekayaan ini mengundang petaka. Saat kami menagih pembangunan kami disuguh dengan ancaman dan pembunuhan. Seluruh kantor kerajaan dibanjiri pekerja yang korupsi, sehingga klimaks budaya tidak telus ini membawa pimpinan Acheh ke penjara gara-gara kecurangan dan pengkhianatan mereka. Yang mengaibkan, Singapura diamanahkan pemegang sejumlah harta kekayaan negara Acheh ekoran pecah amanah yang meruncing dikalangan pemerintah Melayu yang beragama Islam di tanah Acheh.

Malahayati,

Banda Acheh sudah 80% hancur. Sudah jadi padang jarak padang tekukur. Angkara puputan angin fitnah, samudera ketidakadilan, prahara penindasan, gempa bumi kezaliman saling bergandingan lalu meledakkan dentuman petir membedal puncak pejal gunung mahmudah. Sungguh, peperangan di Acheh terlalu banyak mengorbankan jiwa, membibitkan dendam di lubuk fuad selagi bela tidak tertuntut. Aku akur dengan amaran al-Khaliq melalui alat pengggera-Nya;-Badai Tsunami, sekadar menamatkan dendam kesumat diatas kematian kerabat karib yang bersarang dek kerana kejahatan dan kerosakan akal budi khalifah-Nya. Bila Tuhan turunkan ibtila' siapa yang akan dipersalah melainkan kita akan kembali kepada apa yang kita lakukan. Bukankah itu peringatan dari ar-Rahman jika kita leka mengingatinya dan lepa perintah-Nya? Aku positif terhadap musibah ini kerana setiap ujian itu turun bersama kasih sayang-Nya. Bahkan al-Khaliq pernah bertitah, "Kasih sayangKu melimpah ruah berbanding azabKu."

Aku jua ralat saat mendengar bantuan dari Amerika Syarikat terawal tiba di Acheh hinggakan Acheh terpancing dengan propaganda bahawa umat Islam tidak sensitif sama saudara di Acheh sedang aku arif banyak negara Islam yang melebarkan bantuan namun tidak diuar-uarkan. Pantai hatiku berbusa halus dilanggar badai cuak tatkala Acheh dihadapkan dengan cubaan dan episod baru tatkala anak-anak yang sudah yatim pantas dipungut lalu dititip oleh Lembaga Sosial. Diacu dan didik dengan akidah berbeda dengan harapan menjadi senjata menyerang Acheh, melalui individu-individu yang diprogramkan punya adat dan pertuturan yang sama tetapi bersalahan anutan. Kau bayangkan Malahayati akidah masa depan warga Acheh jika usaha mereka ini menemu titik kejayaan.

Malahayati,

Malam ini bulan sabit tergantung dilangit terang terbuka. Aku tetap tegar memanjatkan doa yang punya keampuhan dan kesaktian kepada spiritualku. Harapku hanya satu, orang yang aku cintai di dunia dan akhirat berhimpun bersama hamba-Nya yang syahid dan beruntung. Kantaku seolah melihat tragedi yang tragis itu. Badai Tsunami yang menghambat dan menghambur kampung halamanku. Gegak gempita bergema bagai talun memukul gendang persis sangkakala Izrail bertiup kencang! Malam ini begitu sejuk menembus kulitku yang kalis air walau musim dingin sudah bersedia mengucapkan 'sayonara'. Desir bayu malam berbisik-bisik di hujung dedaunan menjanjikan seribu harapan. Aku buncah memikirkan kondisiku yang rawan semusim peperiksaan semester pertama berlangsung. Aku hanya mencatat dalam kertas jawapan:- 'Maaf, Profesor. Mohon dipertimbangkan kondisi kami dalam bencana.' Kupohon pertolongan Pencipta kepada hamba yang dicipta. Amin ya Rabb!

Malahayati,

Desaku yang dulu tidur lena dalam pelukan dan ramasan selimut malam, kini sudah hancur luluh. Bahkan telah pergi bersama ganas hububan tsunami. Tekadku masih pejal membina niat agar amanat menghabiskan pengajian dilunaskan segera. Aku perlu pulang Malahayati. Mesti pulang! Doaku geluk fikiran ini tertimba jumlah kewarasan yang tidak tertumpah walau setitis agar jasad dan rohku sentiasa dipegang oleh Pengatur alam. Aku tidak jemu berharap kelahiran 'Malahayati' dikurun ini demi memartabat ketuanan Islam di daerah Acheh. Aku akan terus menanti entiti 'Malahayati' sekurun lalu. Demi gabungan ini bikin gegar yang bakal melestarikan janji Tuhan Islam akan menang. Aku setia menanti nirmala Malahayati...

Yang Benar,

Syah Iskandar,

7th District

Nasr city,

Cairo,

Egypt.

GLOSARI:

ba'da Isya'- selepas isya’

ikhwan dan akhawat- adik beradik lelaki dan perempuan

ibtila’-ujian, tribulasi, mehnah