KERDIPAN NAJAM TIMUR

KERDIPAN NAJAM TIMUR

OLEH FAIZATUL HERDA BT MOHD AZAMAN

SATU

“AS-SYEIKH Muhammad Al-Kurani! Beta berkenan melantik tuan sebagai murabbi anakanda beta. Anggaplah dia umpama anak tuan, lenturlah dia dengan acuan Al-Quran dan Sunnah, pukullah sekiranya ingkar perintah tuan yang menyongsang syariat Tuhan.” Titah Sultan Murad tegas.

“Menjunjung perintah, Tuanku!” Arahan bertukar tanggungjawab. Mencanai dan mengacu syakhsiah seorang putera mahkota tidak semudah perintah yang dilafaz. Muhammad Al-Kurani makruf, putera lela bangsawan itu rencam kerenahnya. Pernah beberapa kali dihantar ‘memondok’ dengan para alim ulama sebelum diserahkan kepadanya. Nyata jiwa pria itu begitu liat dilentur.

“Muhammad, kemari. Ada pesanan dari ayahandamu.” Anak muda itu digamit mesra.

“Mengapa tuan tidak mengelar beta tengku mahkota?” Dibiarkan soalan itu diterjah kawanan pawana semilir.

“Dengar sini anakanda, Sultan Murad berkenan melantikku murabbi anakanda. Jika ada perintah dan arahanku anakanda ingkari, akan kuurusi anakanda sebisaku.” Mata hablur ulama itu berkilau. Setia memakai wajah lenang

“Apa yang tuan mahu lakukan ke atasku?” Sengaja memancing dengan senyuman nakal.

“Apa saja yang diilhamkan Tuhanku, agar hatimu lunak dan tidak membentak.” Kalam telus berbau ugutan

Gelaknya kian galak. Terpingkal-pingkal. Syaikh Muhammad Al-Kurani merasa dipersenda. Diambilnya rotan diraut sedepa lalu ditebas betis tengku mahkota. Melalaklah anak muda itu semahunya. Lalu diserahkankan mashaf Al-Quran untuk dilumati hingga hadam.

DUA

Pagi itu diguyur renyai nyamur nirmala. Aku bangkit awal. Mahu ikut Selman ke kampusnya di Fakulti Ilahiyat, Universiti Marmara. Aku perlu membiasakan diri mendengar pengajian di dalam Bahasa Turki. Bahkan berhajat menemui beberapa orang pensyarah untuk mendapatkan khidmat nasihat yang telus mengenai hasrat murniku, menyambung pengajian di Turki. Namun kukesani, jika membuat permohonan pengajian Othmaniyyah aku akan terpelanting ke Fakulti Pendidikan Ataturk. Sebetulnya aku tidak senang ke kampus tersebut, pelajarnya didominasi dogma liberal.

Kuliah pertama pagi itu subjek Falsafah yang diajar Prof. Ayhan Erkan bermulut pedas. Gemar menghentam pelajar yang disifatkan ampuh dan tidak bertoleransi dengan pensyarah Syariah berfahaman Laiklik (sekular).

“Ha! Kamu pergi halau lembu-lembu itu. Kalau dibiarkan lama-lama mereka akan lulus ujian ijazah sarjana sekelas kalian.” Sindiran beracun sengaja dipanah ketika beliau mengelih sekawan lembu yang menceroboh padang bola di pinggir kampus. Senyumnya melebar. Puas!

“Tak mengapa Prof, biar lembu-lembu itu belajar lama sedikit. Jika mereka lulus Ph.D, bolehlah mereka duduk sejabatan dengan kamu!”‌ Rakan sekelas Selman membidik tepat. Hilai tawa menjadi bahasa di dalam dewan kuliah beberapa bentar. Aku terpana dicuit kejutan menyaksikan situasi yang tidak pernah kualami.

“Selamat datang ke Turki! Kami sangat menghormati orang yang memuliakan Islam. Tetapi untuk pensyarah seperti tadi aku langsung tidak bersimpati walaupun dia disindir lebih tajam dari itu.” Hangit kejutanku dihidu Selman sejurus tampang Prof. Ayhan Erkan lesap dari ruang retina. Kaul Selman, Prof. Ayhan Erkan seorang pendokong politik sekularis, pimpinan Mesud Yilmaz. Beliau membenci jawapan peperiksaan pelajar bersandarkan Al-Quran dan Al-Hadis, memada dengan logik akal!

Usai kelas, aku dikenalkan beberapa orang pensyarah termasuk Profesor Ahmet Davuto yang pernah berkhidmat di Malaysia. Kami saling bertukar beragam isu menarik dan terkini. Mengejutkanku apabila dikhabarkan yuran pengajian peringkat sarjana di Universiti Marmara hanya USD100 setahun! Wah, beruntung!

“Kami mahu pelajar, bukannya duit. Di sini, kualiti tesis dan penyelidikan kami utamakan.” Jelas Prof. Ahmet Davuto ketika melihat aku melongo mendengar taklimat beliau. Aku nekad melunaskan pengajian sarjana di sini. Bumi khalifah!

TIGA

Petang beransur senja. Mentari pulang ke peraduan. Langit luas terhias purnama penuh yang dihinggap jutaan bintang timur berkedip-kedip bak intan tumpah. Cahaya kosmik cerlang gemilang.

Aku masih bermalam di Gaye Vakfi, Yeni Sahra. Gaye Vakfi, badan NGO yang menyelaras apartmen tersebut. Sekali gus aku tertarik pendekatan Gaye Vakfi. Di Turki terdapat ramai ahli perniagaan Muslim yang komited dengan Islam. Mereka menguasai syarikat-syarikat terbesar Turki seperti Kompasan. Melalui pungutan zakat fleksible, ramai ahli perniagaan membayarnya dengan menaja asrama kediaman pelajar yang dikira asnaf fi sabilillah. Ahli perniagaan ini akan menampung bayaran sewa, menyediakan beras, kupon roti dan bayaran bil. Tuntas, pelajar-pelajar universiti di Istanbul dan beberapa bandar lain yang kurang mampu boleh tinggal secara percuma. Syarat yang dikenakan mudah sahaja, pelajar-pelajar ditaja wajib menghadiri program pengajian yang diadakan di masjid berhampiran asrama tersebut.

Aku belajar beramah-tamah dengan rakan serumah Selman. Penguasaan Bahasa Turkiku masih ditahap sederhana. Kadang-kadang aku mengambil masa terlalu lama untuk memahamkan mereka, juga sebaliknya. Namun hati yang dikurniakan oleh Pemilik Alam ini betah meladeni. Masih tegar berhubung kendatipun memaksaku menulis atau melukis ketika bertatih bertutur. Segalanya berbalik pada hati. Jika hati mahu segalanya pasti berlaku, jika hati enggan segalanya merusuh sakan. Benar, kecanggihan dunai global yang menghamilkan sarat teknologi demi merealisasi dunia tanpa sempadan. Melahirkan beribu-ribu model alat komunikasi sofistikated. tidak bererti jika hati tidak ingin mesra dan menjauh.

Selman tinggal dan membesar di Bolvadin, sebuah bandar di Wilayah Afyon. Anak lelaki tunggal dari tiga beradik. Selman telah menghafal isi Al-Quran ketika berusia 14 tahun. Rupa-rupanya majoriti sahabat serumah Selman adalah huffaz belaka. Yang paling kuat hafalannya Hasan dan Mustafa. Aku begitu cemburu.

EMPAT

Ba’da Isya kami menziarahi teman-teman Selman berbangsa kurdi. Mereka majoritinya sefakulti Selman, Ilahiyat. Kami berlabun-labun sambil menikmati kuaci biji labu berselang-seli cicipan teh dari daerah Rize. Ketika kami enak berbual, Abdullah bingkas bangun menekan punat televisyen. Oh, Berita Jam Sembilan rupanya! Aku belum melihat individu yang sangat fokus seperti Abdullah dan teman-temannya. Menonton berita dijadikan agenda terpenting mereka.

Salah seorang dari mereka menelefon ibunya di kampung. Tentunya di timur Turki. Entahlah, aku sendiri kurang pasti sama ada di Bingöl ataupun di kawasan yang berhampirannya.

“Selam aleyküm, mak. Apa khabar? Oh begitu ke? Minggu ini siapa yang mati? Hmm, sabarlah mak ya... aleyküm selam!” Suaranya lirih mengendur.

Kenaling. Nubariku terusik. Dadaku padat dan sendat. Menyimpan jutaan kesulitan di ruang sempit yang menghimpit. Khabarnya itu perbualan biasa setiap kali menghubungi ibu di kampung. Minggu ini bapa saudaranya ditembak dan tubuhnya tercampak ke dalam longkang.

“Entahlah siapa yang menembaknya, tapi kami di kampung memang biasa mengesyaki ia perbuatan askar Turki.” Sambungnya mendatar.

Gumpalan fikiranku berarak keluar dari kepompong. Membuyar. Mengapa nasib bangsa Kurdi begitu? Jumlah mereka ramai. Bukan minoriti sebarangan di Turki. Aku menyedari bangsa Kurdi ini menerima nasib yang sama di seluruh negara mereka berkelana. Etnik minoriti di Iraq, Iran, Armenia dan Syria.

“Kerana itulah kita mesti bebas dari Turki. Kita kena keluar dari negara ini!” Suara Abdullah bergetar. Nadanya tegang. Bibirnya diketap geram. Aku mula memusatkan gumpalan fikiran yang membuyar sebentar tadi.

“Kalau kamu keluar dari Turki, negara apa yang bakal kamu bentuk? Apa pasaknya?” Aku maju bertanya.

“Itu tidak penting. Yang utama sekarang bangsa Kurdi mesti ada negara sendiri. Hanya itu!” Abdullah memasak besi emosi.

“Jika kalian bentuk negara Kurdi yang paksinya selain Islam, ia hanya mengundang petaka berganda. Kalian digeruni lantaran memiliki koleksi ulama dan pahlawan ulung seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Bediuzzaman Said an-Nursi. Andai enggan mengamalkan perlembagaan Islam di negara impian kalian, sekadar bersandar pada angka majoriti. Sia-sia! Kalian akan menindas bangsa Turki sebagaimana bangsa Turki menindas kalian sekarang. Apa bezanya?”. Sengaja aku menyuguh kiasan mantik. Biar tutur Abdullah dipandu iman bukan akal! Sahabat yang lain mengangguk akur. Abdullah mengetap bibir. Hakikat yang ditelan umpama belati tajam.

Sungguh, bangsa Kurdi amat digeruni oleh barat. Bayangan Salahuddin al-Ayyubi dan Bediuzzaman Said an-Nursi bergentayangan semasa mereka bersidang di meja Saiks-Pico pada tahun 1919. Persidangan itu membincangkan agenda faraid penjajah terhadap tanah umat Islam yang diwarisi seusai kemangkatan Khilafah Othmaniyyah selepas kekalahan Perang Dunia Pertama. Di dalam persidangan tersebut, diagihkan satu bangsa satu negara!

Sengaja peta Timur Tengah dilakar selela-lela kehendak emperialis. Satu-satunya bangsa yang ternafi hak sebuah negara bahkan peta dilukis bersilang-siur hanya kerana bangsa Kurdi. Peta Turki, Syria, Armenia, Iran dan Iraq diubah agar bangsa Kurdi menjadi kaum minoriti di semua negara tersebut. Itu strategi jangka panjang untuk melumpuhkan mereka.

Alasannya, detik Khilafah Othmaniyyah berada di ambang kejatuhan, bermacam bangsa bangkit memberontak. Bulgaria, Armenia, Arab, Slav dan yang lain cuba menentang. Masing-masing mahu merdeka dari ‘penjajahan Othmaniyyah’ kononnya. Satu-satunya bangsa yang tegar mempertahankan Othmaniyyah ialah bangsa Kurdi. Hanya kerana itu Ataturk telah membunuh ribuan pimpinan kaum Kurdi sebelum pembubaran rasmi Khilafah Othmaniyyah diuar-uar.

Sifirnya mudah. Jika bangsa Kurdi diberikan hak negara sendiri, dengan mudah mereka bakal menggoncang kuasa dunia membentuk empayar Islam yang unggul dan berwibawa.

Itu rasionalnya ketika aku menyanggah pendapat Abdullah. Bukan ingin mencipta provokasi. Aku enggan menghayun langkah sumbang dalam merencana. Padahnya Islam! Aku mengelih tubir mata Abdullah. Ada orakan kecil bergenang.

“Ah, apa yang kau tahu? Kau hanya mendegar, yang sengsara kami! Setiap kali pulang ke kampung, kami membasuh lantai yang dicemari darah kaum keluarga kami.” Abdullah sugul dan dongkol menahan perasaan yang membakar relung dadanya.

“Sabar...dengan sabar yang indah!” Aku menepuk bahunya.

“Aku akan pastikan kebangkitan Fatih Sultan Mehmet kali kedua. Merencana sebijaknya!” Nadanya berkobar.

“Sahabat, bukankah Saidina Ali k.w berpesan, ‘Binalah daulah Islamiyah dalam dadamu terlebih dahulu’, ertinya individu muslim yang berakhlak dengan Al-Quran dan As-Sunah yang mampu membina kembali daulah Islam yang pernah kecundang.” Gerak matanya cukup mendebarkan, ada nyalaan pawaka hamasah menjulang. Aku menyaksikan!

LIMA

“Anakku, yakinlah pada janji Rasulmu, bahawa engkaulah tentera yang dijanji-Nya dalam sabda baginda, ‘Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya!’ Bersiapsiagalah ke arah itu!” Ingatan As-Syeikh Ak Samsettin, keturunan Saidina Abu Bakar As-Sidiq r.a itu berpilin-pilin di benak Sultan Muhammad Al-Fatih. Baginda menghirup nafas. Dalam-dalam. Dilepaskan perlahan-lahan. Allah matlamat kami! Letusan kalimat itu menggegar jihat alam!